Wednesday, January 27, 2010

PERKASA BAHASA MELAYU

Pen sepakat beri tumpuan penggunaannya dalam sistem pesanan ringkas (SMS)

PERSATUAN Penulis Negeri Sembilan (Pen) sepakat menangani masalah ejaan sebagai sebahagian daripada usaha memperkasakan bahasa kebangsaan dengan memberi tumpuan pada penambahbaikkan penggunaannya dalam sistem pesanan ringkas (SMS).

Ketua Satunya, Mahaya Mohd Yassin, berkata Pen memandang berat perkara terbabit kerana penggunaan singkatan ejaan terutama yang sering diguna pakai dalam sistem pesanan ringkas (SMS) mencacatkan keindahan struktur perkataan bahasa Melayu.

“Pimpinan Pen sendiri mengambil inisiatif menghantar dan menjawab setiap SMS menggunakan bahasa Melayu baku bagi memperkasakannya kembali dengan menggunakan ejaan penuh,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung Pen Ke-33 di Dewan D’Ark, Senawang, baru-baru ini.

Pada mesyuarat terbabit, Mahaya sekali lagi berjaya mempertahankan jawatan Ketua Satu Pen yang dipegangnya sejak tiga tahun lalu, manakala Dr Mahdi Abdu; Wahab menang tanpa bertanding untuk kerusi Ketua Dua.

Mahaya berkata, Pen yakin dengan kaedah berbahasa baku melalui SMS, membuktikan kesungguhan persatuan penulis di bawah pimpinannya dalam usaha memperjuangkan keindahan bahasa kebangsaan.

“Justeru, Pen berharap mendapat kerjasama semua ahli bagi merealisasikan impian membantu

pihak berwajib dalam memantapkan hal berkaitan sastera, bahasa dan budaya, agar ia dapat berlangsung secara berterusan,” ujarnya.

Selain penekanan kepada penggunaan bahasa Melayu baku dan ejaan penuh untuk sistem pesanan ringkas, Pen juga berusaha mengetengahkan keindahan serta keunikan Negeri Sembilan kepada masyarakat luar.

“Pada 10 Februari ini, Pen akan terbabit pada program melestarikan warisan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim,” ujarnya pada mesyuarat agung yang dipengerusikan Dr Mahdi Abdul Wahab dan dihadiri Bendahari Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Hamzah Hamdani.

Ahli Pen turut dimaklumkan bahawa persatuan terbabit dengan keanggotaan tertinggi di kalangan guru akan berusaha meningkatkan keahlian dan akan mendekati sekolah sekitar negeri itu untuk mengadakan kempen mengenai Pen.

Pada mesyuarat itu, ahli Pen, Abdullah Abdul Rahman, mengusulkan persatuan itu menganjurkan Majlis Ekpresi Sastera dan memperbanyakkan program bicara karya serta bengkel penulisan kerana program itu dilihat mampu melahirkan lebih ramai penulis kreatif yang kritis.

“Pen juga perlu mengadakan majlis baca puisi kerana di samping merapatkan jalinan dan hubungan sesama ahli, program seumpama ini juga mampu mendidik golongan muda untuk mencintai serta mendalami keindahan sastera mahupun bahasa dalam ruang lingkup yang luas,” katanya.

Usul lain yang turut dibahas dan diterima pada mesyuarat agung itu ialah saranan daripada seorang lagi ahli persatuan, Ida Munira Abu Bakar, agar Pen menganjurkan Sayembara Menulis Novel Sejarah Negeri Sembilan.

Mahaya dalam jawapan balasnya menjelaskan bahawa program bicara karya dan bengkel penulisan memang kerap diadakan persatuan itu terutama sempena mesyuarat agung dan majlis ceramah serta bengkel khas.

“Pimpinan Pen berterima kasih atas usul yang dicadangkan ahli, malahan kami akan cuba menambah baik kegiatan sedia ada dan memperbanyakkan program lain mengikut kesesuaian masa dan tenaga,” ujarnya.

Bendahari, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Hamzah Hamdani, dalam ucapannya, berkata Pen adalah lambang persatuan yang cergas apabila berjaya menghimpunkan sebahagian besar ahli untuk menjayakan mesyuarat agung dan bilangan ahlinya ramai.

“Pen perlu berusaha agar bahasa Melayu dijadikan bahasa utama dan teras dalam gagasan 1Malaysia.

Kita dapat lihat, iklan badan korporat yang merendahkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan perdagangan dengan meletakkannya pada kedudukan ketiga selepas Mandarin dan Tamil,” katanya.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Sastera/20100125093253/Article/

No comments:

Post a Comment